Pekebun-Pekebun Durian Raub Dibebas Dengan Jaminan Polis,,,,

Seramai 18 pekebun durian di Raub, Pahang yang direman pihak berkuasa semalam telah dibebaskan pagi ini dengan jaminan polis.

Menurut sekretariat Save Musang King Alliance (Samka), anggota keluarga pekebun berkenaan dimaklumkan oleh pegawai penyiasat pada jam 12 tengah malam semalam untuk membebaskan mereka dengan jaminan pagi ini.

Sekretariat itu juga mengesahkan semua tahanan telah dibebaskan dari ibu pejabat polis Raub sehingga jam 11 pagi tadi.

Berdasarkan siaran langsung Samka di Facebook, peguam yang mewakili pekebun terbabit, Chan Yen Hui berkata, mereka perlu melaporkan diri di mahkamah atau balai polis pada 4 Oktober.

Katanya, jika mereka gagal berbuat demikian, penjamin akan dikenakan denda sebanyak RM10,000.

Dia berkata, polis telah selesai merekodkan keterangan mereka semalam walaupun majistret membenarkan tahanan reman selama dua hari.

Sementara itu, Ketua Biro Undang-undang DAP, Ramkarpal Singh juga hadir di balai polis berkenaan bagi memberikan bantuan guaman kepada pekebun durian terbabit.

Ketika bercakap dalam siaran secara langsung, Ramkarpal berkata, mereka telah memberi kerjasama dengan pihak polis dan pihak berkuasa semasa siasatan.

Oleh itu, katanya, tiada sebab untuk tahanan mereka dilanjutkan.

“Kami gembira dengan perkembangan ini. Kami akan hubungi anak guam mengenai apa yang harus dilakukan selanjutnya,” kata anggota Parlimen Bukit Gelugor itu.

Dia juga berkata peguam mungkin akan menarik balik permohonan semakan perintah reman yang dikeluarkan majistret Raub semalam, memandangkan semua pekebun terbabit dibebaskan hari ini.

Ramkarpal diarahkan oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng untuk memberikan bantuan guaman kepada mereka yang ditahan.

“Ini adalah masalah mata pencarian bagi pekebun durian yang telah berkebun di sana selama beberapa dekad dan kerajaan negeri Pahang harus berusaha menyelesaikan masalah secara damai antara syarikat swasta itu dan pekebun” kata Lim dalam kenyataan semalam.

Adun Bilut, Lee Chin Chen dan Adun Tras, Chow Yu Hui juga hadir di balai polis berkenaan.

Semalam, mahkamah membenarkan perintah reman selama dua hari terhadap 18 pekebun durian, termasuk seorang remaja berusia 17 tahun untuk membantu siasatan Jabatan Perhutanan atas tuduhan menceroboh.

Kerajaan negeri Pahang mendakwa pekebun berkenaan meneroka tanah secara haram dan berusaha mengusir mereka. Kerajaan negeri telah menyewakan tanah itu kepada sebuah syarikat bagi tujuan penamanan durian.

Syarikat berkenaan, Royal Pahang Durian Resources-PKPP Sdn Bhd (RPDR-PKPP), adalah usaha sama antara kerajaan negeri dan syarikat yang mempunyai kaitan dengan kerabat diraja Pahang.

Kemelut terbaru tercetus apabila pekebun cuba mengambil hasil tanaman mereka di tanah berkenaan tetapi dihalang oleh Jabatan Perhutanan dan pihak polis.

About admin

Check Also

“Aku tahu budak stress, aku faham” – Fynn Jamal Terkilan Orang Ramai Berkerumun Di Air Terjun Lepas Dapat Kelonggaran

Baru-baru ini viral satu rakaman video menunjukkan satu rakaman orang ramai berkerumun di sebuah tempat …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: Content is protected !!